Aneka Resep Masakan Paling Lengkap Seluruh Dunia

Selasa, 30 September 2014

Agar-agar Cendol permanis mulut di Aidil Adha


Tak berapa hari lagi , kita umat Islam akan menyambut Aidil Adha. Pastinya kaum ibulah yang paling sibuk untuk memikirkan apalah juadah yang hendak di sajikan pada pagi hari raya Aidil Adha nanti.
Sambutan Hari Raya Haji atau Aidil Adha, tidaklah semeriah hari raya puasa atau Aidil Fitri, yang mana kita sibuk siapkan baju baru untuk suami dan anak-anak.. Biasanya kita hanya pakai pakaian yang bersih di pagi raya Aidil Adha, baju hari raya Aidil Fitri yang masih elok masih sesuai di gunakan untuk sembahyang hari raya Aidil Adha pula.



Begitu juga dengan hidangan untuk hari raya. Kebiasannya sambutan Raya Aidil Fitri lebih meriah. Kaum ibu atau suri rumah pastinya sibuk menyiapkan kuih muih, kek dan snack untuk menyambut kedatangan para tetamu.


Aidil Adha pula kita lebih tertumpu pada ibadah korban yang kebiasannya di lakukan selepas sembahyang hari raya.

Walaupun hari Raya Aidil Adha cukup simple sambutannya, tapi sebagai suri rumah pastinya kita hendak sediakan sesuatu yang istimewa di pagi raya untuk anak-anak dan suami. Maklumlah pada hari cuti umum macam nilah kita sekeluarga dapat berkumpul.. makan semeja sambil menikmati juadah yang terhidang.

Bagi anda yang sedang tercari-cari manisan atau pencuci mulut untuk di hidangkan pada Aidil Adha nanti, di sini ita kongsikan.
Resepi ini ita ambil dari blog Wendy. Adunan ini menggunakan loyang 10 inc dan agak banyak untuk kami sekeluarga. Ita kurangkan dan hanya buat 1/2 adunan sahaja. Kepada yang nak mencuba bolehlah... Anda boleh buat 1/2 adunan macam ita jika keluarga tak ramai.


AGAR-AGAR CENDOL
Resepi Oleh : Wendy

Lapisan Cendol

500 ml air
170 gm gula halus
250 ml air
1 peket agar-agar serbuk ( 10 gm ~ 12 gm )
250 ml santan ~ ita guna santan KARA ( santan KARA ni ita campur air jadikan 250 ml )
secubit garam
30 gm tepung jagung
500 gm cendol

Panaskan 500 ml air dengan gula halus hingga gula larut
Satukan agar-agar dengan 250 ml air dan tuangkan dalam adunan gula, masak hingga agar-agar larut
Satukan santan, tepung jagung dan garam, kacau rata hingga tepung tidak berbintil
Tapis, dan tuangkan dalam adunan agar-agar
Bila didih, tutup api
Biar suam sikit baru masukkan cendol.
Sediakan loyang ukuran 10 x 10 inc
Basahkan dengan air
Tuangkan agar-agar cendol
Biarkan ia mengeras
Sementara lapisan cendol mengeras kita sediakan lapisan gula Melaka


Lapisan Gula Melaka

200 gm gula Melaka
500 ml air
2 helai daun pandan di simpul
250 ml air
1 peket agar-agar  serbuk ( 10 gm ~ 12 gm)
250 ml santan pekat ~ ita guna KARA
secubit garam

Panaskan 500 ml air bersama dengan gula Melaka dan daun pandan
Bila gula dah larut, angkat dan tapis
Dalam periuk lain, satukan 250 ml air dan agar-agar serbuk dan masak hingga agar-agar larut
Tuangkan air gula Melaka yang telah di tapis
Tuangkan juga santan dan secubit garam
Kacau senantiasa supaya santan tak pecah

Sebelum tuangkan lapisan gula Melaka ke atas agar-agar cendol, cucuk dahulu permukaan lapisan cendol atau cakar-cakar permukaannya supaya lapisan gula Melaka melekat dan tidak tertanggal nanti.
Kemudian tuangkan lapisan gula Melaka
Biarkan ia sejuk sebelum di dinginkan dalam peti ais.

Tips dan panduan

Untuk mengelakkan cendol mendap ke bawah, pastikan masukkan cendol dalam adunan santan tu apabila adunan santan telah suam.
Kacau rata baru tuang dalam loyang.

Untuk mengelakkan lapisan daripada tertanggal atau tidak melekat. Pastikan adunan lapisan santan ( cendol ) masih suam ketika lapisan gula Melaka di tuang.
Pastikan juga lapisan atasnya di cakar atau di cucuk-cucuk dengan garfu supaya ia melekat dan tidak tertanggal.






 

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Agar-agar Cendol permanis mulut di Aidil Adha