Aneka Resep Masakan Paling Lengkap Seluruh Dunia

Senin, 27 Oktober 2014

Karipap Pusing


Dah lama ita berhajat nak buat karipap pusing ni, sejak ita terpandang Shiela kongsikannya lama dahulu. Kebiasannya ita beli sahaja karipap pusing daripada sepupu suami ita yang menjualnya frozen. Nak buat memang tak berapa pandai masa tu. Nak tanya cara membuatnya terasa segan pula memandangkan beliau menjadikan karipap pusing ni sebagai sumber pendapatan.

Karipap pusing sepupu suami ita yang ita panggil Rokna ni cukup popular hingga beliau tak menang tangan menyiapkan tempahan. Karipapnya hingga di eksport ke Singapura memandangkan permintaan yang cukup tinggi.



Pada mulanya beliau membuatnya secara sambilan sewaktu beliau menetap di Kota Bahru. Karipapnya selalu di hantar ke Kuala Lumpur selain mendapat permintaan dari penduduk tempatan. Bila beliau mengikut suami beliau yang di tukarkan ke Johor Bahru, permintaan karipapnya mula meningkat dari sehari ke sehari.


Ita cukup kagum dengan beliau kerana beliau membuatnya sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa kecuali anak-anak, itu pun jika anak-anaknya pulang bercuti. Karipapnya juga sangat sedap. Ada karipap daging, kentang, dan sardin.

Hari ini ita berpeluang untuk menyediakan sendiri karipap pusing berbekalkan ilmu yang di kongsikan oleh Shiela. Terima kasih Shiela, sedap karipap ni.. sangat rapuh dan enak untuk di nikmati terutamnya untuk minum petang. Di tambah dengan secangkir kopi memang terangkat!

Mungkin ita kena banyak lagi praktis untuk menghasilkan karipap pusing yang cantik lapisannya. Kepada rakan-rakan jangan lupa untuk mencuba tau!

Sebelum buat karipap pusing kita kena sediakan intinya terlebih dahulu. Anda boleh gunakan apa-apa sahaja inti yang anda suka. Di sini ita kongsikan dua inti yang anda boleh pilih.


INTI KENTANG

4 biji kentang saiz besar ~ di potong dadu kecil
2 sudu besar udang kering ~ di rendam hingga lembut kemudian kisar
2 sudu besar ikan bilis ~ di rendam lembut kemudian kisar
3 ulas bawang merah ~ kisar
2 ulas bawang putih ~ di kisar
10 tangkai cili kering ~  rendam hingga lembut kemudian kisar ( boleh kurangkan )
3 sudu besar rempah kari
garam dan gula secukup rasa
2 tangkai daun kari
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Panaskan minyak
Tumiskan daun kari dan bahan kisar hingga harum dan garing
Masukkan rempah kari dan masak lagi hingga garing
Masukkan kentang dan tambhakan air
Biarkan ia merenih dan kentang empuk
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Biarkan ia kering
Angkat dan toskan minyaknya.


INTI SARDIN

3 biji kentang bersaiz kecil ~ di potong dadu
1 tin besar sardin ~ ambil ikannya sahaja, buang tulang tengah dan di lenyek lumat
3 ulas bawang merah ~ di kisar
2 ulas bawang putih ~ di kisar
1 inc halia ~ kisar
10 tangkai cili kering ~ rendam hingga lembut dan kisar ( boleh kurangkan )
1 sudu teh lada hitam ~ di tumbuk halus
1/2 cawan air asam
garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk mernumis

Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar hingga harum dan garing
Masukkan kentang dan air asam dan masak hingga kentang empuk
Masukkan sardin dan lada hitam
Masak lagi hingga pekat
Perasakan dengan garam dan gula
Angkat dan toskan minyaknya

Anda boleh pilih yang mana satu resepi yang anda suka. Sekarang inti pun dah siap kita tunggu dia sejuk. Sementara inti sejuk bolehlah kita sediakan doh karipap.


KARIPAP PUSING
Resepi Oleh : Chahaya Shiela

Doh A
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar veg shortening
2 sudu besar marjerin


Untuk doh A
Satukan semua bahan untuk doh A dalam bekas. Gaul hingga sebati. Boleh di kepal atau di bulatkan.
Kemudian bahagikan doh kepada 4 bahagian yang sama besar. Bulat-bulatkan dan ketepikan.

Doh B
2 cawan tepung gandum
1/4 cawan minyak jagung
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 1/2 cawan air anggaran ~ air ni tuang sikit-sikit


Untuk doh B 
Masukkan tepung ke dalam bekas dan buatkan kawah atau lubang di bahagian tengahnya
Kemudian panaskan minyak, dan tuang minyak panas kedalam kawah tepung yang dalam mangkok tadi.
Gaul rata dengan senduk atau sudu  AWAS MINYAK PANAS!!
Gaul sehingga ia menjadi serbuk roti.
Sementara itu garam kita bancuhkan bersama air hingga larut.
Tuangkan air garam  sedikit demi sedikit kedalam tepung sambil menguli.
Uli hingga sebati dan agak tak melekat di tangan.
Bahagikan doh B kepada 4 bahagian yang sama banyak dan bulat-bulatkan doh.


Canaikan satu bahagian doh B yang kita telah bahagikan tadi.
Letakkan satu bahagian doh A di tengahnya
Bungkuskan dan kemaskan padat
Kemudian di bulatkan, ketepikan
Ulang kaedah yang sama untuk baki doh-doh selebihnya.


Doh yang telah di satukan tadi, di canai sederhana ketebalannya. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Kemudian di gulung menjadi selinder yang panjang.
Kemudian di canai sekali lagi sederhana tebal juga.
Gulung semula menjadi selinder.
Ulang proses yang sama untuk doh yang selebihnya.
Kemudian doh ini direhatkan sebentar anggaran 15 minit agar ia sebati dan lembut.


Ambil satu bahagian doh dan potongkan kepada 6 kepingan
Ambil sekeping doh yang telah di potong dan canaikan bentuk bulat, sederhana tebal. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Jika nipis ia susah di kendalikan, mudah pecah semasa meletakkan inti. Jika tebal pula tidak enak pula untuk di nikmati nanti.
Letakkan inti yang di sukai di bahagian tengahnya, jangan penuh sangat sebab takut pecah pula dohnya.
Lipat dan kemaskan tepinya agar tidak terbuka.
Klimkan kemas agar tidak terbuka semasa proses mengoreng nanti
Ulang proses yang sama hingga habis kesemua kepingan doh


Dah pun siap karipap kita.
Untuk satu adunan ini dapat menghasilkan 24 keping karipap pusing.
Jika nak buat frozen ada dua kaedah.

Kaedah Frozen
1. Selepas siap karipap ni di klim terus susun dalam bekas kedap udara. Susun ia satu-satu dan jarakan supaya ia tak melekat-lekat nanti.
Tutup berkas kemas dan terus simpan dalam tempat beku dalam peti ais. Bila nak goreng nanti keluarkan sebentar, dan goreng dalam minyak yang betul-betul panas.

2. Kaedah ke dua pula, kita goreng dahulu setengah masak dalam minyak yang betul-betul panas. Goreng sekejap aje, kemudian anagkat. Susun dalam bekas kedap udara, dan simpan dalam bahagian beku dalam peti ais. Bila nak makan keluarkan biarkan ia lembut baru goreng semula.

Kaedah mengoreng
Bagi yang nak makan terus, pastikan semasa mengoreng minyak betul-betul panas.
Cara mengoreng karipap pusing ni tak sama macam karipap biasa. Kalau karipap biasa minyak tak boleh panas sangat nanti ia mengerutu dan gelembung-gelembung permukaan karipap tu.. tapi sebaliknya karipap pusing kena goreng dalam minyak yang betul-betul panas supaya karipap ni cantik kejadiannya. Api tidak boleh terlalu kecil nanti karipap ni akan serap minyak yang banyak dan buatkan kita muak bila menikmatinya.
Goreng hingga ia kuning keemasan, kemudian angkat dan letakkan atas tisu dapur supaya minyaknya di serap.
Kemudian bolehlah di hidangkan panas-panas.





Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Karipap Pusing