Kuih Lompang merupakan salah satu kuih tradisi yang masih lagi di gemari dan popular di kalangan rakyat Malaysia. Kuih Lompang adalah sangat unik kerana ia berlubang , berlekuk atau biasa di gelarkan lesung pipit di tengah-tengah kuih berbentuk cawan kecil ini.
Ramai yang keliru antara kuih lompang dengan kuih kasui.
Sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua kuih ini. Dari segi bahan yang di gunakan juga tidak sama rupa dan kejadiannya juga tidak sama dan rasanya juga turut berlainan. Tapi masing-masing ada keistimewaan tersendiri.
Kuih Lompang di buat menggunakan tepung beras dan tepung sago, manakala kuih kasui biasanya menggunakan tepung gandum dan tepung ubi. Kuih kasui kebiasannya berwarna coklat gelap kerana ianya menggunakan gula merah manakala kuih lompang lebih ceria dengan kuih yang berwarna-warni. Namun dalam kelainan ada juga persamaannya kerana kedua-dua kuih ini di kukus dan di makan bersama kelapa yang di gaul bersama sedikit garam.
Kuih Lompang merupakan sajian makanan ringan yang kerap kali di hidangkan sebagai minum petang atau untuk meraikan tetamu. Kuihnya sangat lembut dan manis rasanya.
Hari ini ita kongsikan satu lagi resepi kuih tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ini. Resepi di kongsikan oleh Hazel dan ita merujuk resepi dari My Resepi. Resepinya cukup mudah, cara membuatnya juga sangat senang dan ringkas.
Untuk satu adunan ni dapat banayk juga ya.. kalau nak hantar rumah kenduri bolehlah buat satu adunan.. tapi kalau nak makan sendiri sahaja ita cadangkan kurangkan sukatan atau bahagikan sukatan kepada 1/2 bahagian sahaja.
Untuk mendapatkan kuih lompang yang cantik lesung pipitnya terdapat beberapa tips yang harus anda patuhi.. Jom ikut ita masuk dapaur kita pelajari cara membuat kuih lompang yang mudah ini.
KUIH LOMPANG
Resepi Oleh : Hazel
Rujukan : My Resepi
2 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung sago
1 cawan gula pasir
1 sudu teh esen rose
4 cawan Air ~ 2 cawan bancuh dengan tepung dan 2 cawan lagi di masak bersama gula
Daun Pandan ~ di simpul
Acuan secukupnya
Pewarna
Kelapa parut putih sahaja
secubit garam
Panaskan kukusan
Masak 2 cawan air bersama gula dan daun pandan hingga gula larut
Dalam bekas lain satukan tepung beras dan tepung sago
Campurkan dengan 2 cawan air lagi dan kacau rata
Tuangkan adunan air gula ke dalam adunan tepung
Kacau rata dan kemudian di tapis
Adunan ini akan menjadi adunan yang terlalu cair
Tambahkan esen rose
Kacau rata
Bahagikan adunan kepada 3 atau 4 bekas dengan sama banyak
Letakkan pewarna yang berlainan dalam setiap bekas
Ketepikan
Acuan di oleskan dengan minyak jagung atau minyak masak
Susun dalam kukusan
Bila air kukusan telah mendidih, letakkan acuan dan kukus acuan dahulu selama 5 minit
Selepas 5 minit, tuangkan adunan dalam bekas acuan
* tuang adunan 1/2 acuan sahaja, jika lebih lekuknya atau lubangnya nanti tidak berapa jelas
Tutup kukus dan kukus selama 20 minit
* tutup kukusan boleh balut dengan kain supaya air kukusan tidak menitis atas kuih
Bila dah masak, tunggu sejuk baru keluarkan dari acuan
Kuih lompang di hidangkan dengan kelapa parut yang di gaulkan dengan sedikit garam